Sunday, November 14, 2010

MENGAJAR ANAK BERTERIMA KASIH

IBU TERBACA ARTIKEL NI..
Anak kecil yang mengucapkan terima kasih kepada sesiapa yang membantunya atau memberinya sesuatu sangat jarang dijumpai. Alangkah gembira dan sejuknya hati kita apabila anak sekecil 3 tahun mampu menilai penghargaan yang diberikan kepadanya dengan mengucapkan terima kasih.

Pernah satu hari anak saya mahukan susu buat kali kedua. Akan tetapi dia tidak ingat di mana dia meletakkan botol susunya. Kemudian saya mencarinya dan anak saya memberontak kerana saya tidak menjumpai botol susunya. Penatnya ibu mencari botol susu tersebut, tapi anak pula marah-marah sebab ibunya tidak menjumpai botol susu yang dihilangkannya.

Kadangkala, rasa tertekan dan kadangkala ibu bapa boleh rasa stress dengan keadaan ini. Namun, tindakan mendidik anak adalah tanggungjawab kita. Bukan pihak nursery atau tadika. Kita yang perlu diperhatikan terlebih dahulu sebelum orang lain.
Baiklah, sekarang mari kita mengajar anak mengucapkan terima kasih atas penghargaan yang diberikan kepadanya. Terdapat 2 perkara yang perlu dielakkan untuk mengajarkan anak berterima kasih.

Yang pertama, untuk mengajarkan anak berterima kasih akan menjadi sukar jika anak anda memperolehi setiap benda yang diingininya sejak kecil.

Yang kedua, terlalu banyak hadiah yang diberikan kepada anak kecil adalah keterlaluan dan sangat berat bagi dirinya. Anak kecil akan keliru dengan pemberian hadiah yang sepatutnya istimewa tetapi menjadi seolah-olah pemberian biasa seperti ibu memberi makan. Sebolehnya, berikan hadiah kepadanya di atas satu-satu pencapaian yang diperolehinya.

Untuk mengajarkan anak berterima kasih, pertama sekali ia mesti dimulakan daripada ibu bapa dan orang sekelilingnya. Ucapan terima kasih ini mudah sangat tertinggal atau terlupa, akan tetapi ia sangat penting. Ucapan ini dapat menghasilkan peribadi yang sering merendah diri dan tidak berbangga-bangga dengan harta atau sesuatu yang dimilikinya.

“Terima kasih sebab ambilkan buku untuk umi”“Terima kasih sebab picit kepala umi”“Terima kasih sebab jadi anak yang baik”“Terima kasih sebab selalu tolong umi kemas rumah”“Terima kasih sebab sayang umi”

Banyak lagi ucapan yang boleh diberikan kepada anak-anak kita. Dengan permulaan inilah, anak-anak kita akan belajar untuk menghargai sesuatu dan belajar merendah diri di hadapan orang. InsyaAllah…

NURKILAN FR:ANAKKU SAYANG

No comments: