Monday, November 15, 2010

KORBAN

Tahun ni ibu x berkesempatan untuk buat korban, disebabkan adik ibu kahwin so kira ibu dah berkorban kat situlah masa tenaga & duit..Bagi ibu ibadah korban ni bagus dilakukan jika berkemampuan...SO kpd saper2 yg berkemampuan tu eloklah buat korban ni kerana byk fadilat & implikasinya..
Dikesempatan yg ada ibu ingin menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf seandainya ada kesilapan tanpa ibu sedari mengguris hati kpd sesiapa shj..wassalam...

Hikmah Korban; sumber dari buku Sabil Muhtadin terbitan Telaga Biru Sdn Bhd
by Ustaz Zahazan Mohamed on Tuesday, November 16, 2010 at 10:23am
Hikmah Korban

Korban dan akikah
merupakan ibadah dan amalan yang mulia dan penting dalam Islam kerana amat besar fadilat dan implikasinya. Malangnya masih ramai orang yang samar-samar atau kabur kefahaman terhadapnya. Tidak kurang yang memandang ringan terhadap ibadah ini. Mereka mempunyai kemampuan tetapi tidak mahu melakukan penyembelihan korban dan akikah ini.

Penjelasan dan pengisian yang terkandung dalam kitab ini dapat membantu kefahaman masyarakat tentang ibadah korban serta akikah. Malah akan timbul keinginan atau meningkatkan kesungguhan untuk sama-sama mencari pahala daripada kedua-dua ibadah ini.

Antara persoalan yang sering terdengar dalam masyarakat ialah:
• Apakah sebenarnya korban dan akikah itu?
• Apakah perbezaan antara korban dan akikah?
• Apakah hukum melakukannya?
• Berapa kali kita dituntut melakukan korban sepanjang hayat kita?
• Apakah syarat-syarat binatang yang hendak dikorbankan?
• Bolehkah seekor lembu dikongsi sebahagian untuk korban dan sebahagian lagi untuk akikah?
• Apakah hikmah atau faedah yang bakal diperolehi kerana melakukan kedua-dua ibadah itu?

Penyembelihan Korban
Korban ialah penyembelihan binatang yang dilakukan pada Hari Raya Haji (selepas solat sunat Aidiladha) dan pada tiga hari tasyrik berikutnya iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijah. Korban hendaklah diniatkan sebagai ibadah kepada Allah SWT dan tidak boleh untuk tujuan selain itu. Syiar ini adalah sebagai menghidupkan syariat Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syiar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah rebah (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak memintaminta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.”
(Surah al-Hajj 22: 36)

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.”
(Surah al-Kawthar 108: 2)

Daripada Aisyah r.ha. Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) korban itu.”
(Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim)

Zaid bin Arqam berkata: “Mereka telah bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah udhiyyah (korban) itu?’ Nabi Muhammad SAW menjawab: ‘Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi Ibrahim.’ Mereka bertanya lagi: ‘Apakah ia untuk kita?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan.’ Mereka bertanya: ‘Bagaimana bulu yang halus pula?’ Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ‘Dengan tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan.’”
(Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Hukum Korban
Korban hukumnya sunat mu’akkad (sunat yang dituntut) atas orang yang memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
• Islam.
• Merdeka (bukan hamba).
• Baligh lagi berakal.
• Mampu untuk berkorban.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Aku disuruh berkorban dan ia sunat bagi kamu.”
(Riwayat al-Tirmizi)

“Telah diwajibkan kepadaku korban dan tidak wajib bagi kamu.”
(Riwayat al-Daruqutni)

Walaupun hukum berkorban itu sunat tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib jika dinazarkan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang bernazar untuk melakukan taat kepada Allah, maka hendaklah dia melakukannya.”

Hikmah Dan Fadilat Korban
• Menghidupkan sunnah Nabi Allah Ibrahim a.s.
• Mendidik jiwa ke arah takwa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
• Mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu berbelanja harta ke jalan Allah SWT.
• Menghapuskan dosa dan mengharap keredaan Allah SWT.
• Menjalinkan hubungan kasih sayang sesama manusia terutama antara golongan berada dengan golongan yang kurang bernasib baik.
• Akan memperolehi kenderaan atau tunggangan ketika meniti titian al-Sirat al-Mustaqim di akhirat kelak.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Muliakanlah korban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu meniti titian pada hari kiamat.”